Friday, April 12, 2013

Dalil Menyusukan Bayi


Bismillah.
Untuk entri pertama tentang obsesi saya terhadap susu ibu ini, saya akan serta kan dalil Al-Quran tentang penyusuan bayi sehingga dua tahun. Surah Al-Baqarah, ayat 233, Allah telah berfirman yang bermaksud:

Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap, iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu; dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya. Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya. Jangan menjadikan seorang ibu itu menderita kerana anaknya, dan (jangan juga menjadikan) seorang bapa itu menderita kerana anaknya; dan waris juga menanggung kewajipan yang tersebut (jika si bapa tiada). Kemudian jika keduanya (suami isteri) mahu menghentikan penyusuan itu dengan persetujuan (yang telah dicapai oleh) mereka sesudah berunding, maka mereka berdua tidaklah salah (melakukannya). Dan jika kamu hendak memberi anak-anak kamu menyusu kepada orang lain, maka tidak ada salahnya kepada kamu apabila kamu serahkan (upah) yang kamu beri itu dengan cara yang patut. Dan bertaqwa lah kamu kepada Allah, serta ketahuilah, sesungguhnya Allah sentiasa melihat apa jua yang kamu lakukan.




 Apa yang saya faham daripada ayat ini, 

1. Ibu-ibu sangat digalakkan untuk menyusukan anak-anak mereka.

2. Untuk menyempurnakan penyusuan, bagi mereka yang hendak menyempurnakannya, maka hendaklah mereka susukan anak-anak mereka selama dua tahun genap.

3. Boleh pilih sama ada nak sempurnakan atau tidak, jangan sampai membebankan ibu/bapa.

4. Jika hendak menghentikan penyusuan, setelah suami isteri berunding dan bersetuju, maka mereka tak melakukan kesalahan.

5. Boleh juga dapatkan ibu susuan untuk anak, dengan memberi upah yang sepatutnya.

6. SESUNGGUHNYA ALLAH SENTIASA MELIHAT APA JUA YANG KITA LAKUKAN



Kita usaha lah sebaik yang mungkin. Niat kerana Allah. InsyaAllah, akan dibalas dengan pahala. Amin. Wallahu a'lam. Ini berdasarkan pemahaman saya yang serba kekurangan ilmu. Jika ada kesalahan, tolong tegur dan sila lah betulkan.